Pages

Wednesday, January 5, 2011

Keseluruhan Program

Selesai sudah Karnival Usahawan & ICT PID Zon Utara yang telah diadakan pada 29 Disember 2010 hingga 1 Januari 2011 dengan jayanya. Pelbagai aktiviti telah diadakan dengan penuh kemeriahan sepanjang karnival berlangsung sepanjang empat hari berkampung di Dewan Dato Madi Yan. Sebanyak 22 unit khemah bersaiz 20'x20' telah disediakan di perkarangan Dewan Dato' Madi sebagai booth usahawan mengadakan jualan dan pameran. Manakala bagi pameran agensi kerajaan pula telah diadakan dalam dewan dengan jumlah lot disediakan sebanayak 16 ruang. Antara peserta pameran boleh rujuk disini.

Karnival Usahawan & ICT bermula pada Rabu, 29 Disember 2010 dengan pada hari ini lebih kepada persediaan peserta pameran dan usahawan menyediakan booth masing-masing. Untuk hari pertama aktiviti yang dijalankan adalah pameran agensi kerajaan, jualan produk iks, promosi jalur lebar, serta diadakan pendaftaran perkerjaan oleh Jobs Malaysia. Disebelah malam pula, perhatian lebih tertumpu kepada perlawanan akhir kedua Bola Sepak Piala AFF Suzuki antara Malaysia melawan Indonesia. Penganjur turut menyediakan layar sebagai memberi peluang kepada peserta karnival menyaksikan secara langsung dari tapak karnival. Maklumat berkaitan boleh dirujuk disini. Selesai menonton acara bola sepak, acara diteruskan dengan nyanyian karaoke di pentas utama oleh para peserta dan pengunjung. Mengakhiri acara malam pertama adalah cabutan bertuah dimana sebanyak 10 cabutan telah dibuat untuk malam pertama. Pada hari pertama program, pengunjung yang berdaftar adalah seramai 300 orang.

Memasuki hari kedua karnival pada Khamis 30 Disember 2010, pada jam 11.00 pagi telah berlangsung majlis perasmian. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail, ADUN Guar Chempedak. Antara tetamu yang dijemput adalah Puan Faudziah binti Mohd Amin, Ketua Penolong Setiausaha Jurang Digital Sektor Komunikasi, Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan, Yang berbahagia Encik Faisal Rizal Bin Mohammad, Penolong Pegawai Daerah Yan, Yang berbahagia Tuan Pegawai Penerangan Daerah Yan, Yang Mulia  Tunku Azela Tunku Aziz, Pengurus , Bumi ICT Enterepreneur , TED, MSC Malaysia, Yang berusaha, Timbalan Pengarah Wilayah Utara Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia,  Yang berusaha Tuan Haji Ahmad bin Rukunudin, Pegawai Jabatan Perpaduan, Yang berusaha En. Mohamad Shokri, Penghulu merangkap Pengerusi PID Yan, Yang berusaha En Hamizam bin Sahimi, Ketua Zon PID Utara,  Ketua-ketua jabatan dan agensi serta Pengurus dan Penolong Pengurus PID Zon Utara. Selesai ucapan perasmian YB ADUN telah memotong riben belon sebagai gimik pelancaran bagi menaikkan baner karnival. Setelah itu diadakan acara penyampaian Anugerah Blog Kreatif, Anugerah Karnival PID Dinamik, Anugerah Usahawan Tekno dan Anugerah eKedai Kreatif.

Selesai majlis perasmian, pada jam  2.30 petang telah diadakan Bengkel Usahawan yang mana dua sesi telah dijalankan iaitu sesi pertama bertajuk iStudy. Sesi ini telah disampaikan oleh En. Zainurudin Emuaad dari Interactive Education Sdn. Bhd. Sesi kedua pula berkaitan dengan Consoci8 (web 2.0, social networking). Sebelah malam pula telah diadakan Ceramah Agama bermula jam 9.00 malam. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan dan penceramah bebas. Selesai ceramah agama diadakan pula acara cabutan bertuah malam kedua. Sepuluh lagi hadiah telah disediakan untuk para pengunjung bertuah. Untuk hari kedua jumlah pengunjung yang berdaftar adalah hampir 1000 orang.


Hari ketiga program pada Jumaat, 31 Disember 2010 iaitu hari kemuncak acara dimana banyak acara diadakan pada hari ini. Sebelah pagi dimulakan dengan acara gotong royong memasak Bubur Asyura yang telah disertai oleh penduduk kampung dari Rukun Tetangga Pekan Yan Besar. Sebanyak 4 buah kampung telah mengambil bahagian dan sebuah masjid dimana sebanyak 5 kawah bubur asyura telah disediakan. Setiap kampung telah menghantar wakil seramai 5 orang. Bubur asyura ini telah diagihkan kepada semua pengunjung yang datang ke tapak program. Disamping itu, penyertaan memasak bubur asyura  antara kampung ini telah dipertandingkan dimana ia diadili oleh wakil dari PID, KedahFM dan MSC Malaysia. 


Pada masa yang sama Pertandingan Mewarna kanak-kanak turut diadakan dalam dewan utama. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategari iaitu kategori A berumur 7 tahun kebawah, manakala kategori B berumur 8-9 tahun. Seramai 30 peserta dari kategori A manakala 25 peserta dari kategori B. Selesai pertandingan mewarna, sementara menanti pemenang, acara sukaneka telah diadakan melibatkan kanak-kanak dan kaum wanita serta pelajar. Antara acara yang diadakan adalah pertandingan kutip gula-gula terbanyak secara berkumpulan, Kerusi Muzik untuk kaum ibu dan pelajar. Jam 12.30 tgh telah diadakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan yang telah diadakan sebelah pagi. Acara sebelah petang pula adalah pertandingan puzzle secara berkumpulan, kuiz ict dan acara tiub belon paling besar. Selesai semua acara diadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sebelum diadakan persembahan karaoke bermula jam 6.00 petang hingga 7.00 petang.


Acara sebelah malam pula diadakan persembahan Wayang Kulit Sri Asun secara langsung. Persembahan ini telah manarik ramai pengunjung untuk manyaksikannya sehingga ruangan dalam dewan tidak dapat menampung  penonton yang begitu ramai dan ada yang menonton dari luar dewan. Selesai persembahan wayang kulit diadakan pula acara cabutan bertuah dimana 10 lagi hadiah disediakan. Jumlah pengunjung untuk hari ketiga ini lebih dari 1500 orang yang berdaftar kerana jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.


Hari terakhir program pada 1 Januari 2011, sebelah pagi dimulakan dengan acara pertandingan Gubahan Tuala. Selesai acara gubahan diadakan pula Pertandingan eMewarna yang disertai oleh pelajar sekolah. Pertandingan ini disertai seramai 20 orang peserta. Seterusnya diadakan Pertandingan ePuzzle yang telah disertai seramai 13 orang peserta. Aktiviti sebelah petang pula adalah Pertandingan Makan Bihun Sup yang telah disertai  seramai 10 orang peserta golongan belia. Akhir sekali telah diadakan Pertandingan Ekplorace secara berkumpulan dimana tiga kumpulan telah menyertai dengan tiga orang setiap kumpulan. Selesai semua acara telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada semua pemenang. Bagi mengakhiri program, sebelah malam telah diadakan Persembahan Artis Jemputan dimana artis yang menjayakan persembahan adalah Pak Long yang popular dikalangan peminat diutara yang mendendangkan lagu Selagi Ada Rindu. Seperti dijangka penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahan telah memenuhi segenap ruang dalam dewan dan ada yang sanggup berdiri. Jangkaan pengunjung yang berkunjung pada malam terakhir adalah lebih dari 1000 orang dimana kaunter yang disediakan untuk pendaftaran terpaksa ditutup awal berikutan kehabisan borang pendaftaran dan urusetia yang bertugas tidak sanggup lagi untuk meneruskan pendaftaran pengunjung yang begitu ramai. Acara cabutan bertuah juga turut diadakan semasa persembahan dihentikan untuk membolehkan artis berehat. 


Pihak penganjur merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang turut menjayakan karnival ini dengan penuh jayanya. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak MSC Malaysia yang sudi menyediakan dana bagi mengadakan karnival ini. Disamping itu turut sama menyumbang dana adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Utara, Celcom, Maxis, Telekom Malaysia serta syarikat koperat yang turut sama menjayakan karnival ini. Tidak lupa kepada pegawai-pegawai dari Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan Sektor Komunikasi,  YB ADUN Guar Chempedak, Pejabat Daerah Yan terutamanya Tuan Pegawai Daerah, Majlis Daerah Yan, Rukun Tetangga Pekan Yan Besar, Balai Polis Yan, Pejabat Penerangan Yan, Pejabat Pertanian Yan, Balai Bomba Yan, Radio Malaysia KedahFM yang sentiasa menyiarkan info dan iklan secara langsung dari tapak karnival. Terima kasih juga kepada semua peserta pameran dan usahawan yang terlibat dalam menjayakan karnival ini.




0 comments:

 
 

Hubungi kami :

Sekretariat
Karnival Usahawan & ICT, PID Zon Utara
Pusat Internet Desa Yan
JKR 2221 Pos Malaysia Bhd Yan
Jalan Pegawai
06900 Yan, Kedah
Tel / Fax : 044659310
Emel : yan@pid.net.my
Website : http://pid.net.my